Pages

ISU KOPI MURAH

KEPUTUSAN BADAN SYARIAH HPA

Bagi kes-kes berikut;

1. Jualan produk dengan harga murah
2. Pemalsuan invois
3. Isu memancing rangkaian orang lain

Keputusan ini dikeluarkan atas permintaan mesyuarat PJS (29 April 2010). Setelah menimbang dengan saksama dan dengan merujuk kepada garis panduan yang diputuskan oleh Panel Syari’ah HPA, maka dengan ini Badan Syariah HPA memutuskan seperti berikut;

Kes pertama; penjualan produk dengan harga lebih murah dari harga yang ditetapkan Syarikat

Panel Syariah berpandangan, amalan tersebut adalah menyalahi syarat yang telah ditetapkan oleh pihak Syarikat dan berdasarkan prinsip al-Ju’alah pihak Syarikat berhak untuk membatalkan bonus jika dibuktikan pihak terbabit melanggari mana-mana syarat yang dipersetujui kedua belah pihak.

Apatahlagi syarat tersebut bertujuan melindungi kepentingan semua pengedar, maka atas kaedah Saddan Liz-Zari’ah, maka pihak Syarikat berhak mengambil langkah awal bagi mengelak berleluasa gejala tersebut di masa hadapan.

Kes kedua; pemalsuan invois

Berdasarkan pengaduan pegawai AWM, ada pihak yang telah mengisu invois tanpa stok fizikal. Maka Badan Syariah berpandangan; perbuatan ini jelas suatu penipuan yang besar dosanya yang dilarang oleh Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- dalam hadisnya (bermaksud); “Sesiapa menipu kami, maka ia bukan dari kami”. Akibat dari perbuatan seperti ini, pihak Syarikat terpaksa menanggung kerugian kerana bonus diberi tanpa kerja. Maka dari sudut tindakan, pihak Syarikat berhak mengenakan apa-apa tindakan yang berpatutan.

Kes ketiga; Isu memancing rangkaian orang lain

Bagi kes ketiga, pihak Badan Syariah mendapati perbuatan tersebut menyalahi adab dan etika pengedar yang tetapkan oleh Syarikat antaranya yang dapat difahami dari sabda Nabi “Janganlah seseorang dari kamu menjual atas jualan saudaranya, dan janganlah ia meminang atas pinangan saudaranya” (HR al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.). Oleh itu, Badan Syariah mengesyorkan kepada syarikat supaya mengkaji punca berlaku perkara tersebut dan mengambil langkah-langkah perlu antaranya menghidup usrah di kalangan leader.

Wallahu a’lam bis-shawab.



……………………………….
(USTAZ AHMAD BIN ALI)
Pengerusi Badan Syari’ah HPA

Tarikh; Rabu, 12 Mei 2010